Monday, March 30, 2009

Liposuction Surgery

Artikel sebelum nie aku ada menulis berkenaan dengan Kurus @ Gemuk. Sebenarnya kalau nak kurus memang mengambil masa yang agak lama. Mungkin makan masa bertahun. Tetapi dengan adanya perubatan moden masa kini masa yang lama boleh disingkatkan. Ramai artis barat mengambil jalan yang singkat dengan menggunakan kaedah perubatan moden kini bagi menyingkatkan masa untuk kembali kurus untuk kelihatan menawan.

Di negara kita juga sebenarnya ada menyediakan kaedah Liposuction atau dalam bahasa melayunya kaedah penyedutan lemak. Banyak hospital swasta menyediakan perkhidmatan ini bagi mereka yang bekemampuan. Bagi mengetahui maklumat berkaitan dengan proses liposuction ini aku ada menyediakan video dan maklumat berkenaan dengan pembedahan liposuction
.



Info dipetik daripada laman web http://www.cgh.com.sg/library/malay_skin_lipo.asp

Sedutan Lipo

Tubuh lelaki dan wanita boleh mengumpulkan lemak berlebihan yang tidak mudah disingkirkan dengan bersenam dan berdiet. Sebelum tahun 1980-an, pembedahan besar selalunya perlu untuk membuang lemak degil yang tersimpan. Rawatan selalunya terhad kepada beberapa bahagian tubuh seperti abdomen dan punggung. Ia melibatkan risiko yang tinggi dan masa pemulihan yang agak lama. Prosedur yang selamat bagi membuang lemak daripada muka, lengan, lutut, dan paha secara amnya tidak wujud.

Pada awal tahun 1980an, pakar bedah dermatologi menerajui sedutan lipo tisu bengkak daripada hampir keseluruhan bahagian tubuh termasuk muka, leher, dagu, payu dara, pinggul, bahagian belakang pinggang (love handles), belakang, paha dalaman dan luaran, punggung, lutut, betis, dan buku lali. Pembedahan sedutan lipo tisu bengkak juga muncul sebagai rawatan berkesan bagi keadaan pengumpulan lemak bukan kosmetik tertentu, seperti lipomas (tumor lemak benigna) dan payudara lelaki dan wanita yang membesar, serta mengurangkan peluh berlebihan di bawah ketiak.


Apakah Sedutan Lipo Tisu Bengkak?


Diperkenalkan oleh pakar bedah dermatologi pada pertengahan tahun 1980-an, satu kemajuan besar yang dipanggil sedutan lipo tisu bengkak mengubah sama sekali kaedah pengeluaran lemak melalui pembedahan. Teknik baru ini merujuk kepada proses mengisi lapisan lemak kulit dengan larutan cair anestesia setempat dan lain-lain ubat sebelum membuang lemak berlebihan. Penggunaan sedutan tisu bengkak membolehkan pakar bedah dermatologi mengeluarkan lapisan lemak dengan selamat dan cekap, dengan sedikit ketidakselesaan, pemulihan yang lebih pantas, dan hasil kosmetik yang lebih baik.


Apakah Faedah Sedutan Lipo Tisu Bengkak Setempat?


Sedutan lipo tisu bengkak yang menggunakan anestesia setempat menawarkan faedah seperti mengalami berkurangan kulit tidak sekata, lebih sedikit pendarahan, dan berkurangan kesan lebam, serta pemulihan lebih pantas. Sedutan lipo tisu bengkak direka bentuk sebagai prosedur pesakit luar. Dengan ini, potensi komplikasi daripada anestesia am dan kos penginapan hospital yang mahal dapat dielakkan. Di samping itu, memandangkan pesakit berada dalam keadaan sedar dan mereka mampu duduk atau berdiri semasa prosedur dijalankan, membolehkan pakar bedah memeriksa status pesakit dan kemajuan pembentukannya.


Bilakah Sedutan Lipo Perlu Dilakukan?

Sedutan lipo paling berkesan untuk mengeluarkan simpanan lemak setempat yang tidak bertindak balas terhadap diet atau senaman. Sedutan lipo bukan pengganti bagi mengurangkan berat badan; sebaliknya adalah satu prosedur pembentukan. Ia paling baik dikendalikan dalam program yang merangkumi senaman dan pengekalan berat badan yang optimum.

Hasil terbaik diperoleh pada bahagian tubuh yang mempunyai tonus otot dan keanjalan kulit yang baik, dan lemak tidak terlalu banyak. Dalam keadaan di mana terdapat kehilangan tonus dan keanjalan yang ketara, hasil kosmetik mungkin memerlukan gabungan kedua-dua sedutan lipo dan penegangan kulit secara pembedahan bagi membuang tisu kendur berlebihan.


Bagaimana Sedutan Lipo Tisu Bengkak Dilakukan?


Prosedur ini melibatkan penyuntikan jumlah besar larutan secara langsung ke dalam kawasan yang banyak menyimpan lemak berlebihan. Larutan yang dicairkan ini selalunya mengandungi anestetik setempat (lidocaine) dan dadah dipanggil epinefrina untuk mengecutkan kapilari dan mengurangkan kehilangan darah. Selepas itu, tiub (kanula) yang disambungkan ke mesin yang serupa dengan penyedut hampa gas, diselitkan ke dalam lapisan lemak. Dengan menggerakkan tiub ke depan dan belakang, lemak disedut ke dalam sistem pengumpulan steril. Selepas pembedahan, pakaian mampatan elastik dipakai untuk membantu kulit mengecut dan pulih. Masa yang diperlukan untuk melakukan sedutan lipo berbeza antara dua hingga empat jam, bergantung pada saiz kawasan dan jumlah lemak yang dikeluarkan.


Apa Berlaku Sebelum Pembedahan?


Sebelum pembedahan, sejarah perubatan dan pemeriksaan fizikal dilakukan bagi menilai keadaan tubuh. Semasa rundingan, pakar dermatologi menerangkan prosedur dan hasil yang dijangka. Doktor mungkin menyemak semula pilihan rawatan alternatif dan menerangkan risiko dan komplikasi yang mungkin berlaku. Gambar sering kali diambil sebelum dan selepas pembedahan. Garis panduan terperinci mengenai diet, merokok dan pengelakan dadah akan diberi sebelum pembedahan. Jika anda mendapat selsema atau apa-apa jenis jangkitan, pembedahan mungkin terpaksa ditangguhkan.


Apa Berlaku Selepas Pembedahan?

Anestesia setempat yang disuntik ke dalam tisu akan kekal selama 24 jam selepas pembedahan sedutan lipo, lamengurangkan banyak kesakitan selepas pembedahan. Ketidakselesaan selepas pembedahan selalunya ringan dan boleh dikawal melalui pengubatan. Sebaik selepas pembedahan, anda akan memakai bengkung selama beberapa minggu. Ini akan mengurangkan pembengkakan dan membantu kulit mengecut kepada saiz baru rangka tubuh anda.

Selepas sedutan lipo tisu bengkak, kebanyakan pesakit akan sedar dan boleh bergerak tanpa merasa loya, pening lalat, dan letih barlebihan yang sering dikaitkan dengan anestesia am. Malahan, pesakit dinasihatkan agar berjalan sejurus selepas pembedahan bagi meningkatkan proses pemulihan. Pada keseluruhan, pesakit selalunya boleh kembali melakukan tugas dalam tempoh tiga hingga lima hari. Senaman fizikal boleh disambung semula tujuh hari selepas prosedur tersebut.

Jangan fikir anda akan terus kelihatan hebat sejurus selepas pembedahan. Meskipun teknik lebih baru ini dipercayai boleh mengurangkan sedikit ketidakselesaan selepas pembedahan, anda mungkin mengalami sedikit kesakitan, rasa bahang, pembengkakan, lebam-lebam dan kekebasan sementara. Amnya, kesakitan boleh dikawal dengan pengubatan yang dicadangkan oleh pakar bedah bergantung kepada keadaan anda. Adalah biasa bagi pesakit merasa bimbang dan sedikit tertekan selama beberapa hari atau beberapa minggu selepas pembedahan. Namun begitu, perasaan ini akan bertambah reda apabila anda mula kelihatan lebih hebat dan berasa lebih segar.


Adakah Sedutan Lipo Tisu Bengkak Selamat?

Sama seperti pembedahan lain, pembedahan lipo juga mempunyai faedah dan risiko. Walau bagaimanapun, apabila dilakukan oleh pakar bedah dermatologi/ plastik bertauliah, sedutan lipo tisu bengkak yang menggunakan anestesia setempat adalah satu prosedur yang selamat dengan sedikit kesan sampingan. Komplikasi minor yang tidak kerap seperti kulit tidak sekata, penggumpalan, keadaan kulit bercawak dan kendur, rasa kebas, jangkitan dan parut yang ketara (jarang-jarang) mungkin berlaku.

Walaupun terdapat pakar bedah terlatih dan kemudahan terkini yang boleh meningkatkan peluang mendapat hasil terbaik, tiada jaminan boleh diberikan. Meskipun komplikasi jarang berlaku, ia mungkin boleh dan telahpun berlaku. Risiko meningkat jika lebih banyak kawasan dirawat pada masa yang sama, atau kawasan yang dibedah bersaiz lebih besar. Oleh itu, lebih daripada satu prosedur sedutan lipo mungkin perlu bagi memastikan keselamatan pesakit, di samping mencapai hasil terbaik.


Adakah Sedutan Lipo Tisu Bengkak Satu Cara Mengurangkan Berat Badan?


Perlu difahami bahawa sedutan lipo bukan pengganti diet dan senaman, atau pun ubat bagi obesiti. Untuk mendapat manfaat maksimum daripada prosedur ini, anda perlu memiliki berat badan sederhana dengan lemak berlebihan di kawasan tertentu. Memiliki kulit sihat dan elastik yang berupaya mengecut atau "mendetap kembali" selepas pembedahan, juga penting. Memandangkan sedutan lipo hanya membuang lemak, ia tidak akan menyingkirkan cawak atau memperbaiki kekenduran kulit.


Di Mana Pembedahan Anda Akan Dilakukan ?


Sedutan lipo tisu bengkak dilakukan sebagai rawatan pesakit luar atas sebab kos dan kemudahan. Sedutan lipo adalah prosedur kosmetik dengan kos tidak kurang daripada dua ribu.


Apakah Pemindahan Lemak?

Pemindahan lemak adalah proses pemindahan lemak daripada satu bahagian tubuh kepada bahagian lain di pesakit yang sama. Lemak ini boleh digunakan untuk mengisi garis dan alur di antara hidung dan di bahagian tepi mulut dan untuk mencantikkan bentuk bibir. Ia juga digunakan untuk menambah lemak yang hilang daripada wajah semasa proses penuaan.

Lemak yang dipindah boleh bertahan selama setahun atau lebih. Sesetengah pesakit memerlukan suntikan penggalak lemak segar atau lemak disimpan untuk mengekalkan hasilnya. Bagi sesetengah pesakit, pembetulan yang kekal mungkin boleh dicapai.


Apakah Kebaikan dan Keburukan Pemindahan Lemak Berbanding Suntikan Kolagen Bovin?


Suntikan bovin (daripada kulit lembu) atau kolagen sintetik mungkin menyebabkan reaksi alahan dalam dua hingga tiga peratus populasi. Disebabkan lemak diperoleh daripada tubuh anda sendiri, tiada risiko akan berlaku reaksi alahan. Pindahan lemak juga menjadi pilihan jika kerosakan kepada pengisian adalah besar. Keburukannya ialah prosedur penuaian lemak perlu dilakukan terlebih dahulu.


Wajah Baru Anda Selepas Sedutan Lipo

Anda akan lihat perbezaan ketara dalam bentuk badan anda agak cepat selepas pembedahan. Walau bagaimanapun, penambahbaikan hanya akan kelihatan lebih ketara selepas empat atau lima minggu, iaitu apabila kebanyakan pembengkakan telah reda. Selepas lebih kurang tiga bulan, apa-apa pembengkakan ringan yang berlanjutan selalunya akan hilang dan bentuk yang muktamad akan lebih jelas kelihatan.

Jika anda mempunyai harapan yang realistik, anda mungkin akan merasa benar-benar berpuas hati dengan hasil pembedahan. Anda mungkin rasa lebih selesa dengan pelbagai jenis pilihan pakaian dan juga dengan tubuh anda sendiri. Dengan pengambilan diet sihat dan kerap melakukan senaman, anda boleh mengekalkan bentuk baru badan.

INGAT : MATLAMAT SEDUTAN LIPO ADALAH PENAMBAHBAIKAN, BUKAN KESEMPURNAAN

No comments: