Sunday, February 15, 2009

Ayah Siti Nurhaliza Meninggal Dunia


Bapa kepada Dato' Siti Nurhaliza meninggal Dunia semalam akibat serangan jantung. Al-Fatihah

Petikan Harian Metro-16/02/2009



HULU KLANG: “Abah sempat bergurau dengan kami dan bertanyakan semua anaknya. Bagaimanapun, selepas menjalani pembedahan abah terus tidak sedarkan diri hingga menghembuskan nafas terakhir.

“Saya tak sangka abah pergi secepat itu,” kata penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 30.

Bapanya, Tarudin Ismail, 67, meninggal dunia, jam 11.50 pagi semalam di Unit Rawatan Rapi, Hospital Ampang Puteri (HAP) di sini, kerana komplikasi jantung, buah pinggang dan kencing manis selepas menjalani pembedahan pintasan jantung.

Jenazah Allahyarham dimandi, dikafan dan disolatkan di kediaman Siti di Bukit Antarabangsa di sini sebelum dibawa balik dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Tempoyang, Kuala Lipis, selepas Maghrib

Menurut Siti, pada jam 2 pagi Jumaat lalu, bapanya mengadu sakit ulu hati tetapi kerana menyangka ia sakit biasa, arwah pergi Hospital Kuala Lipis (HKL) untuk mengambil ubat.
“Abah mengajak emak (Salmah Bachik, 57) ke hospital. Waktu itu abah masih boleh memandu sendiri.

“Selepas mengambil ubat, doktor suruh abah berehat di hospital sebentar dan kira-kira jam 4 pagi baru abah dan emak sampai di rumah. Sejam kemudian abah masih mengadu sakit dan tiba-tiba rebah di ruang tamu. Abah terpaksa merangkak ke bilik air.

“Selepas melihat keadaan abah yang agak uzur, emak telefon dan saya terus menghubungi ambulans HAP untuk mengambil abah mendapatkan rawatan di sini. Ketika dibawa dengan ambulans abah masih sedar dan boleh bercakap,” katanya.


Katanya, sebaik tiba di HAP kira-kira jam 1 tengah hari, doktor mendapati bapanya menghadapi serangan penyakit jantung yang agak teruk.

Atas nasihat doktor, Siti dan adik-beradiknya kemudian setuju bapa mereka menjalani pembedahan pintasan jantung walaupun peluang untuk abahnya sembuh cuma 50-50.

Namun, Siti berkata, walaupun mengetahui kesan pembedahan itu, bapanya reda dan menandatangani surat kebenaran pembedahan itu.

“Sebelum abah dibawa ke bilik pembedahan, saya, suami (Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa), emak dan adik-beradik lain sentiasa di sampingnya,” katanya.

Selepas dua hari bapanya tidak sedarkan diri, pagi semalam, kata Siti, doktor menghubunginya meminta semua kaum keluarga berkumpul dekat bapanya kerana keadaan kesihatannya terus merosot dan memerlukan bantuan mesin.

“Kami sempat membacakan surah Yasin dan dua kalimah syahadah di telinga abah. Syukur kami semua dapat bersamanya pada saat terakhir pemergiannya,” katanya.

Sementara itu, Khalid yang baru kematian bapanya November lalu reda dengan ketentuan Allah SWT.

“Walaupun sedih dengan pemergian bapa mentua yang jaraknya kira-kira tiga bulan dengan tarikh bapa saya meninggal, namun saya reda. Minggu lalu, saya dan Siti balik ke Kuala Lipis. Saya tengok abah menyambut kepulangan kami dengan gembira lebih daripada biasa.

“Abah beli tiga jenis ikan paling baik di pasar Kuala Lipis dan minta emak masak macam-macam untuk kami. Penuh meja hari itu. Tiga jenis ikan itu dibuat masak kari, gulai lemak tempoyak dan digoreng garing. Saya makan setengah pinggan nasi tetapi abah suruh saya habiskan kepala ikan masak kari itu,” katanya.

Bagi Siti, bapanya seorang yang tegas tetapi kelakar dan sensitif serta mudah terasa hati.

Penyanyi itu masih ingat ketika bapanya meminta gantikan tayar keretanya tetapi Siti tidak sempat menghantar orang mengambil kereta itu.

Oleh kerana Siti terlambat mengambil kereta berkenaan, bapanya menukar tayar itu sendiri.

“Apabila saya bertemunya, beliau melayan saya macam biasa tapi saya pula terasa bersalah,” katanya.

Turut sama menziarahi jenazah Allahyarham, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaacob dan isteri Toh Puan Zurina Kassim.



Gambar ayah CT memotong pulut kuning semasa persandingan di KL Convention Centre 2006


Ayah CT bersama Kadi yang menikahkan CT dgn dato K




Kenangan CT bersama Ayahanda tercinta

2 comments:

Anonymous said...

motif?

iskandar zulkarnain said...

motif apa? -> kurang ajarnya ayat.. patut kau ucap takziah la kematian ayah siti.. tau respek dan adab dan hormat perasaan orang lain x tak. innalillahiwainnalillahirojiun..